Pages

Saturday, March 06, 2010

Apakah salah mereka???

Sejak akhir-akhir ini, kes penderaan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian semakin menjadi-jadi. Kejadian ini disifatkannya kejam dan tidak berperikemanusiaan. Belum pun selesai kes Syafia Humairah minggu lepas, semalam saya terbaca lagi kes kanak-kanak India yang turut menjadi korban terbaru kes penderaan. Tidak kira apa keturunan kanak-kanak yang menjadi mangsa, hati kita semua tersentuh apabila kanak-kanak didera, apatah lagi sehingga menyebabkan kematian.

Harevarran, 18 bulan, mati selepas enam tulang rusuknya patah selain hatinya pecah serta terdapat banyak kesan lebam pada badan mangsa, dipercayai akibat dipukul dan dipijak kerana menangis oleh suami penjaganya yang juga seorang kelindan lori. Ibubapa kanak-kanak tersebut tidak menyangka jiran rapat yang kelihatan mesra dan penyayang boleh berubah menjadi ganas sehingga meragut nyawa anak kecil mereka yang tidak berdosa.


Minggu lepas, adik Syafia Humairah, 3 tahun, yang mati dipercayai ditampar, ditendang dan dipijak teman lelaki ibunya. Bedah siasat mendapati berlaku pendarahan otak, kecederaan parah di perut dan sekeliling buah pinggang akibat hentakan kuat di kepala dan abdomen mangsa. Kesan luka dan lebam seluruh badan, selain kesan penderaan lampau juga ditemui. Secara logik akalnya tentu adik Syafia sangat menderita sebelum meninggal dunia. Apapun berlaku, seksa dunia Syafia dinoktah sudah...Allah Ta'ala lebih menyayanginya dan mengetahui yang terbaik buatnya. Jika dia masih hidup hari ini, pasti dia akan terus dibelasah teruk dan tiada siapa peduli. Pemergiannya membuka mata masyarakat terhadap kezaliman yang dilaluinya.

Alfatihah buat Allahyarhamah adik Syafia Humairah
yang kembali ke rahmatullah tanpa hisab, tanpa seksa kubur &
 semestinya syurgalah tempatnya...Amin

Apalah salah si kecil ini...mereka tidak mengerti apa-apa!! Sudah hilangkah kasih sayang manusia di dunia ini? Pekakkah telinga ibu bapa atau jiran-jiran yang mendengar tangisan anak-anak yang menangis minta dilepaskan dari penderaan? Butakah mata masyarakat kita sehingga tidak endah dengan kes-kes seperti ini?

Senario ini sudah pastinya dikaitkan dengan ibu bapa sendiri. Jadilah ibu bapa yang mithali. Berpegang pada ajaran Islam, berpegang pada didikan Al-Qur'an dan As-Sunnah. Gunakanlan iman, ilmu dan akal dalam setiap tindakan untuk mendidik anak-anak. Jadilah ibu bapa yang terbaik untuk melahirkan anak-anak yang berjaya di dunia dan akhirat. Berilah kasih sayang dan perhatian yang cukup untuk anak-anak...Institusi keluarga yang hancur seperti yang dilalui oleh arwah adik Syafia adalah contoh realiti yang berlaku dalam masyarakat.

Inilah masanya masyarakat wajar menjadi sibuk dan menjaga tepi kain orang supaya kanak-kanak tidak menjadi mangsa sehingga membawa kepada kematian yang sepatutnya dielakkan. Sekiranya kita mengetahui ada berlaku sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak, jiran atau masyarakat wajar melaporkan kepada pihak terbabit. Kepada orang ramai, apabila mereka mendapat tahu berlakunya kes ini yang melibatkan jiran atau sesiapa sahaja, mereka perlu mengambil langkah dengan membantu si mangsa. Buangkan rasa ‘jangan jaga tepi kain orang demi menyelamatkan masa depan generasi muda ini.

Berkurangannya masalah penderaan, maka berkuranglah lagi mangsa dera di kalangan kanak-kanak yang tidak berdosa ini. Berikan mereka cahaya yang terang supaya dapat mengecapi zaman pembesaran dengan nilai kasih sayang yang tidak ternilai, bukan sebaliknya.

Buat mereka masih hidup dan terbabit dalam pembunuhan kejam ini...Ingatlah, mereka akan dibicarakan di mahkamah dunia dan mahkamah Allah. Pembalasan setimpal akan mereka terima. Diharapkan pihak berkuasa tidak mengambil masa yang lama untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh. Biar menjadi pengajaran kepada semua orang yang melakukan kezaliman kepada kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa. Apabila masa yang terlalu lama diambil, lama-kelamaan mereka-mereka yang telah, pernah dan akan melakukan kezaliman terhadap kanak-kanak akan lupa akan hukuman-hukuman yang akan diterima mereka. Semoga kita mengambil iktibar & pengajaran dari kes ini...

Hentikan penderaan kanak-kanak...
sayangilah anak-anak anda!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
zwani.com myspace graphic comments